Pages

Thursday 21 March 2013

60,000 PELUANG KERJA DENGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN

SPA jangka isi 60,000 peluang pekerjaan tahun ini

                             
                                                Tan Sri Mahmood Adam

KLUANG 20 Mac - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menjangkakan hampir 60,000 kekosongan jawatan perkhidmatan awam bakal diisi sepanjang tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Mahmood Adam berkata, selain perjawatan baharu, hampir 40,000 kekosongan jawatan dijangka berlaku berikutan kakitangan yang berpencen kerana tidak berkhidmat sehingga berusia 60 tahun.

"Tahun lalu, SPA berjaya mengisi kekosongan perjawatan sebanyak 50,000 dan tahun ini, saya percaya pengambilan akan lebih 50,000 orang kerana terdapat ramai kakitangan awam yang tidak mengambil opsyen berkhidmat sehingga usia 60 tahun.

"Bagaimanapun masyarakat perlu tahu bahawa SPA hanya mempunyai tanggungjawab untuk mengisi sebanyak 70 peratus kekosongan jawatan kerana bagi agensi kerajaan berkanun, Kementerian Pelajaran dan kerajaan negeri seperti di Johor, mereka mempunyai suruhanjaya perkhidmatan sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi interaksi SPA bersama Ketua Jabatan Persekutuan, Badan Berkanun, Persatuan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan pada Karnival Kerjaya SPA di Sekolah Menengah Sains Sembrong di sini hari ini.

Sementara itu, SPA turut menggalakkan lulusan ijazah sarjana muda dengan kepujian untuk menduduki ujian bagi mengisi jawatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang akan diadakan 13 April ini.

Mahmood berkata, sehingga kini lebih 70,000 pemohon sudah berdaftar untuk menduduki peperiksaan terbabit dengan mereka yang berminat perlu berdaftar secara talian di laman http://www.spa.gov.my.

"Pemohon yang pernah gagal juga diminta untuk mencuba semula kerana peluang masih terbuka kepada mereka," katanya.

Mengulas sesi interaksi tersebut, beliau memberitahu, program itu merupakan kali pertama SPA turut menjemput beberapa persatuan yang mewakili masyarakat termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Usahanita dan Persatuan Imam Daerah Kluang.

"Sesi di Kluang hari ini merupakan jelajah kali ke-15 yang dilakukan SPA sejak Jun tahun lalu yang bertujuan mendapatkan pelbagai maklum balas terhadap perkhidmatan ditawarkan SPA terutama pelaksanaan urusan pengambilan, perkhidmatan, naik pangkat dan tatatertib," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

P/S: Kerajaan Persekutuan melalui SPA nak isi kekosongan jawatan,tapi ada pihak yang bercadang nak kurangkan penjawat awam kalau jadi Kerajaan Persekutuan.Macamana?


Sent from my iPad

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...